Info

Tuesday, August 18, 2009

Mauidzah: Fakir miskin bertakwa layak terima zakat

Posted by asrizull

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Fri Oct 31, 08 3:16:45 pm MYT

Firman Allah SWT bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik baik, dan sebahagian daripada hasil yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu, Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripada padanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya." (Surah Al-Baqarah ayat 267)

Terlintas untuk memberi barang buruk pun dilarang, apa lagi melaksanakan. Diri sendiri enggan menerimanya, hingga memejamkan mata, tanda beratnya menerima barang hodoh itu.
Jumlah pemberian yang banyak tidak menjadi ukuran di sisi Allah SWT, diutamakan perkara yang baik dan bermutu meski pun sedikit.

Perkara yang sewajarnya diberi perhatian orang yang hendak berzakat, kepada fakir miskin yang sekiranya diberikan zakat atau sedekah maka sedekahnya turut bersih. Iaitu kepada fakir miskin yang soleh dan beramal murni.

Tidak memadai penerima zakat sekadar golongan asnaf yang lapan, bahkan hendaklah dikenal pasti peneima zakat dapat mensucikan harta sedekah.

Kerana dalam golongan asnaf yang lapan itu mempunyai pelbagai sifat perangai, yang belum pasti sesuai untuk mencucikan harta zakat itu. Perhatikan ciri-ciri yang dikehendaki itu terdapat enam sifat:
Pertama, carilah golongan asnaf lapan itu yang bertakwa, iaitu yang kehidupannya menunjukkan beramal dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang Allah SWT.

Golongan tersebut jika mendapat harta nescaya akan menggunakan sepenuhnya untuk takwa kepada Allah SWT.

Ketika itu pemberi harta mempunyai saham berkongsi ketakwaan kepada-Nya, dengan cara beri pertolongan melalui pemberian harta itu.

Orang yang bertakwa amat berhati-hati akan mengawasi setiap rezki yang memasuki perut keluarganya, hanya yang halal dan suci sahaja diizinkan menjadi darah daging diri dan keluarganya.

Kedua, golongan ahli ilmu daripada kalangan penuntut yang menghabis usia untuk mendalami ilmu. Bahkan ilmu dihormati oleh Islam, berkait rapat dengan ketaatan kepada Allah SWT.
Pemberian harta zakat akan menolong dan memberi perangsang, orang yang berusaha untuk mendalami dan menguasai ilmu agama dan yang direstui agama.

Menuntut ilmu termasuk dalam ibadat seperti ibadat yang lain. Berilmu bererti beribadat sama ada dalam bentuk mengkaji, menulis dan sebagainya.

Menuntut ilmu dengan niat jujur dan ikhlas, untuk menyebarkan agama Islam kepada khalayak masyarakat.

Bukan belajar untuk memperolehi segulung ijazah bagi mendapat kedudukan tinggi, walau terpaksa tunduk kepada kemahuan golongan tidak gembira dengan Islam.
Seorang alim besar Abdullah al-Mubarak, menetapkan pemberian harta zakat atau sedekahnya, hanya kepada golongan ahli ilmu.

Kerana menurutnya tiada manusia tarafnya di bawah sedikit daripada para nabi, melainkan daripada kalangan alim ulama.

Menurut Abdullah al-Mubarak beliau memutuskan memberi hartanya kepada ahli ilmu. Apabila seseorang ahli ilmu jika disibukkan dengan kerja, pasti tidak dapat menggunakan masanya untuk mendalami ilmu.

Justeru dengan memberikan harta zakat kepada golongan ahli ilmu, bagi memastikan sistem zakat dapat melahirkan ulama dan ilmuan Islam. Ulama sangat dikehendaki oleh masyarakat yang memerlukan bimbingan.

Kalangan ulama itu mestilah mereka yang bertakwa dan tinggi paksi tauhidnya. Meskipun takwa itu tersembunyi dalam hati tetapi ia tetap lahir melalui amalan pancaindera, jadi bukti sama ada ahli ilmu itu bertakwa dan tinggi ilmu tauhidnya.

Adapun tanda ilmu tauhidnya tinggi ialah apabila dia menerima sesuatu pemberian, dia segera puji dan bersyukur kepada Allah SWT.

Apabila dia menyaksikan aliran nikmat itu melalui wasitoh (perantaraan) iaitu pihak yang ditakdirkan Allah SWT jadi saluran rezki, tergerak di hatinya untuk memberi sesuatu kepada seseorang dengan keadaan bukan terpaksa.

Sesiapa yang tidak bersih batinnya ketika dia melihat orang perantara yang memberi, lalu dia tidak anggap orang itu sebagai orang tengah (wasitoh).

Bahkan menganggap orang itulah yang memberi kepadanya. Keadaan demikian termasuk dalam syirik khafi, malah boleh jadi syirik yang nyata jika seorang itu mengetahui.

Oleh itu hendaklah bertakwa kepada Allah SWT dengan membersihkan tauhid, daripada segala jenis syirik dan asam garamnya, walaupu tidak mengenai syirik secara tepat.

Namun seboleh-bolehnya hindarilah yang keruh dan tempiasnya. Syirik bagaikan nila jatuh ke air, walau senipis warna nila akan kelihatan juga dalam air.

Yang keempat, jika hendak cari orang untuk terima zakat atau derma, carilah orang yang tidak kelihatan dirinya perlu kepada bantuan, air mukanya memperlihatkan dirinya bermaruah.
Sebahagian manusia berusaha agar menampakkan dirinya perlukan bantuan, dengan berpakaian lusuh dan bibirnya kering serta berjalan longlai.

Orang bermaruah ialah yang nikmat kesenangannya telah hapus lantaran sesuatu peristiwa pahit atau musibah.

Namun tanda kesenangan masih berbaki pada keluarganya. Golongan berkeadaan demikian wajar diberi bantuan, sama ada dengan zakat atau derma kebajikan.

0 comments:

Post a Comment